Fitrah Manusia

Manusia adalah keturunan Adam a.s di mana secara zahirnya adalah hasil dari hubungan kelamin atau senggama sedang secara batinnya adalah atas kekuasaan Allah s.w.t. Wanita pertama dijadikan ialah Hawa, isteri kepada Adam, Adam itu dijadikan daripada tanah dan terdapat empat unsur alam pada tubuh Adam dan keturunannya iaitu tanah, air, api serta angin. Perkembangan zuriat terjadi dari nutfah yang tumpah pada rahim dan menjadi janin. Adam ditempa dari tanah yang ada di bumi, dari berbagai jenis tanah yang terpilih dan kemudian ditiupkan rohnya ke tubuhnya. Keturunan Adam adalah juga berpasang kejadiannya iaitu tubuh sebagai unsur zahir dan roh sebagai unsur yang tiada kelihatan.
Manusia itu dijadikan supaya mengenal Allah dan menyembah Nya, Dijadikan Nya manusia kemudian dimatikan, dan dibangkitkan kembali di akhirat untuk hidup kekal buat selama-lamanya. Semua anak Adam adalah dilahirkan di bumi, keturunan demi keturunan.
Kejadian manusia dan segala makhluk lain juga adalah berpasangan kesemuanya. Ini termasuklah apa-apa yang ada dalam bumi, pada diri manusia, dan pada perkara-perkara yang tidak diketahui oleh manusia. Dengan sifat yang berpasangan ini jugalah lelaki itu memerlukan seorang isteri sebagai teman hidup dan bagi melahirkan anak-anak sebagai pengganti.
Manusia dijadikan berpasangan lelaki dan perempuan untuk kenal mengenal dan berkasih sayang lantas berkembang biak. Kejadian lelaki dan perempuan adalah sedikit berbeza dari sudut fizikalnya serta juga kemampuannya. Lelaki itu dijadikan untuk menjadi ketua kepada keluarganya dan dialah yang memimpin isterinya. Dijadikan tubuh lelaki dan wanita itu dengan fungsi yang tersendiri dan khusus. Dari segi kelaminnya, wanita dijadikan lengkap dengan rahim bagi mengandungkan janin, janin terbentuk hasil dari tumpahnya nutfah ke dalam rahim menerusi zakar dan faraj. Maka zakar itu, tempat yang menjadi pakaiannya ialah di faraj, bukan di dubur isteri. Sekiranya insan melanggar fitrah ini, maka layaklah dia menemui kehancuran sebagaimana matinya manusia akibat hilangnya daya ketahanan melawan penyakit (AIDs).
Adalah penting bagi golongan muda menyedari tentang manusia dan fitrah kejadiannya, agar tidak menyimpang dari apa-apa yang telah dikhaskan untuk manusia itu menerusi apa yang yang ada ditubuhnya serta fungsi-fungsi yang sewajarnya. Perlu juga diingat bahawa setiap sesuatu ada pasangannya, penyakit ada ubatnya, berbuat baiklah dalam semua keadaan, hatta dalam hal jimak. Nafsu itu boleh membawa kehancuran jika tidak dibendung oleh akal yang ingat kepada Allah.