Hayatilah isi kandungan Al-Quran

Marilah kita bersyukur kehadrat Allah s.w.t. diatas segala nikmat yang dikurniakan, terutama nikmat Iman dan Islam kepada kita semua. Islam yang dibawa dan disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w. merupakan agama yang sempurna lagi lengkap merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia serta diredhai disisi s.w.t. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 19 : Yang bermaksud : " Sesungguhnya agama yang diakui di sisi Allah ialah Islam "

Kelahiran nabi Muhammad s.a.w. bersama dengan risalah Islam yang dibawa oleh Baginda telah merubah tamadun manusia yang dahulunya gelap dengan kesesatan dan kejahilan kini telah bersinar dengan cahaya iman dan ilmu berdasarkan wahyu Allah s.w.t., dimana dunia dan manusia ketika itu dicengkam oleh pelbagai kezaliman. Dahulunya manusia bertindak dan melakukan sesuatu berdasarkan hawa nafsu tatapi setelah datangnya Islam, mereka dikawal oleh akal yang berpandukan kepada wahyu Allah s.w.t. sehingga kehidupan manusia menjadi lebih mulia. Bahkan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. adalah satu ketetapan Allah s.w.t. untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anbiyaa ayat 107 : Maksudnya : " dan tidaklah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam ".

Kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. umpama Intan Permata yang berkerlipan dari segenap penjuru. Setiap kerlipan itu, penuh dengan panduan dan pengajaran untuk dipelajari serta dihayati oleh umatnya. Kehidupan umat Islam akan menjadi indah dengan diwarnai oleh sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang bersumberkan wahyu Ilahi, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:



" اِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "



Maksudnya : " Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak ".



Sesungguhnya Baginda Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Tatapi, kita masih bertuah kerana Baginda Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan dua perkara kepada umatnya sebagai panduan hidup, iaitu kitab Allah dan Sunnahnya sebagai pedoman bagi seluruh umatnya untuk dikaji, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

Kitab suci Al-Quran atau kalam Allah diturunkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Penurunannya adalah mengikut suasana semasa yang berlaku ketika itu atau mengisahkan peristiwa yang memerlukan istinbat hukum. Kandungan Al-Quran itu merangkumi ayat-ayat yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup bermasyarakat, cara beribadah, pembahagian harta pusaka, urusan kekeluargaan, urusan pentadbiran dan pembangunan negara, urusan pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kesemua kandungan ini tetap menjadi sumber rujukan yang unggul dan abadi sehingga ke hari kiamat .

Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah s.a.w., ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah s.w.t. Selain daripada itu, Al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaannya perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredhaan Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi kita wajib mempercayai kitab Al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukun Iman seseorang Muslim .

Justeru, kita sebagai umat yang mengaku beriman dengan kitab suci Al-Quran, mestilah menjadikan Al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukan utama dalam kehidupan. Menjadikan Al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta sentiasa memohan dilindungi Allah s.w.t. Oleh yang demikian, dalam kesibukan harian, kita sewajarnya memberikan sedikit waktu dan ruang kepada diri dan keluarga kita untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. melalui pembacaan Al-Quran. Janganlah kita menjadi seperti segelintir orang yang mendakwa berilmu tatapi mereka tidak membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka .

Akhirnya, ingin ditegaskan disini bahawa Al-Quran bukan seperti kitab warisan yang hanya dibungkus kemas untuk dipamerkan atau untuk melariskan jualan atau memagari rumah dan sebagainya. Tatapi hakikat sebenarnya Al-Quran adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan disamping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.

Dengan rasa ikhlas saya ingin berpesan marilah kita menjadikan amalan membaca Al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat dengan mengikut kaedah yang betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar dan dalam masa yang sama kita perlu merujuk kepada golongan pakar dalam bidang tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham. Disamping itu, kita hendaklah meletakkan keyakinan bahawa isi kandugan Al-Quran secara umum atau mempunyai prinsip dasar mengatur seluruh kehidupan manusia bermula dari sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar urusan atau bermula dari kita bangun tidur hinggalah kita tutup mata (mati). Mudah-mudahan kita semua mencapai kejayaan dalam menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan pedoman hidup .

Marilah kita sama-sama cuba menghayati isi kandungan Al-Quran. Mudah-mudahan hidup kita sentiasa disinari dengan nur dan hidayah dari Allah s.w.t. diantaranya :

1. Kita wajib mempercayai kitab Al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukum Iman seseorang Muslim.

2. Kita yakin isi kandugan Al-Quran secara umum atau mempunyai prinsip dasar mengatur seluruh kehidupan manusia bermula dari sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar urusan.

3. Kita jadikan amalan membaca Al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat dengan mengikut kaedah yang betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar.

4. Kita berusaha menjadikan diri dan keluarga kita sentiasa dalam keredhaan Allah s.w.t. dengan beramal dengan akhlak Al-Quran .

5. Kita menghayati pengajaran yang terkandung didalam Al-Quran, disamping menjadikan Al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta sentiasa memohan dilindungi Allah s.w.t.





اعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Bermaksud : “ Alif, Lam, Mim, Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan Sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka ”.



( Surah al-Baqarah ayat : 1-3 )
Seterusnya...

Hari yang Pasti Datang

Hari akhirat ialah hari dimana semua manusia dibangkitkan semula selepas mati dan dihimpunkan di suatu tempat yang dipanggil "Padang Mahsyar" untuk mengahadapi perbicaraan atau timbangan amalan yang dikerjakan semasa hidup di dunia dahulu dan seterusnya ditentukan samada ia menjadi penghuni syurga atau penghuni neraka. Dasar akidah ini amat penting dihayati kerana ia dapat membimbing kehidupan kita di jalan yang diredhai Allah.

Di zaman moden yang serba mencabar perilaku dikalangan sesetengah umat islam jauh terkeluar daripada syariat islam. Diantaranya ada yang mengutamakan dunia dan tidak pedulikan nasib di akhirat. Demi keseronokkan dunia, nafsu syahwat dipertuhankan. Ada yang secara terang melakukan kezaliman, penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya. Ajaran dan panduan syariat tidak dijadikan pegangan dan amalan dalam kegiatan harian. Fenomena kerosakan akhlak di pelbagai peringkat masyarakat seperti penagihan dadah, arak, judi, zina, pergaulan bebas, hiburan liar dan sebagainya didapati meningkat dari masa kesemasa. Keadaan ini terjadi sesungguhnya kerana keyakinan dan pegangan kepada dasar akidah tentang kehidupan akhirat dikalangan kita tidak diutamakan.
Terdapat banyak sekali gambaran-gambaran yang disebut oleh Allah Taala didalam Al-Quran tentang dahsyatnya suasana apabila terjadi hari kiamat nanti. Al-Quran secara jelas dan tegas mewajibkan kita meyakini bahawa hari kiamat pasti dan tetap akan berlaku walaupun tidak diketahui bilakah masa dan ketikannya.
Kedahsyatan yang digambarkan sangatlah menggerunkan sehingga menjadikan seseorang kelihatan terpingga-pingga dan kebingungan. Ada yang kelihatan seperti orang mabuk walaupun sebenarnya Mereka bukanlah mabuk. Ibu-ibu yang sedang menggendong pula akan terus keguguran kerana ketakutan. Begitu juga anak-anak yang sedang menyusu akan tercampak dari pelukan ibunya dan dilupakan begitu sahaja oleh ibunya. Banyak lagi peristiwa dahsyat yang lain yang digambarkan oleh Allah S.W.T untuk renungan kita diantaranya melalui Surah At-takwir ayat 1-3:

Maksudnya: " Apabila matahari dilingkari cahayanya ( dan hilang lenyap ), apabila bintang-bintang gugur berselerakan dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa ( setelah dihancurkan menjadi debu ). "

Digambarkan juga suasana yang hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia ketika berada "dibumi al-mahsyar " yang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang berjalan seperti biasa dan ada yang berjalan dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki ke atas, ada yang merangkak-rangkak dan bermacam-macam lagi dalam suasana panas cahaya matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk, bergantung kepada tahap amalan masing-masing.
Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ibni Ammar Radiallahuanhuma bahwa Rasul Allah S.A.W memberitahu yang manusia akan dibangkitkan kembali untuk bertemu dengan Allah pada hari kiamat sebagaimana keadaan mereka ketika dilahirkan dari perut ibunya telanjang bulat. Siti Aisyah Radiallahuanha bertanya: Lelaki dan perempuan berkumpul sama ya Rasul Allah?. Jawab Rasul Allah S.A.W: Ya!. Siti Aisyah berkata: Alangkah malunya, kemaluanku dapat dilihat setengah daripada setengah yang lain. Rasul Allah S.A.W menepuk bahu Aisyah dengan bersabda: Kesibukkan manusia pada saat itu tidak memungkinkan akan melihat itu, kebanyakkan pandangan mereka pada saat itu mengarah ke langit, berdiri selama empat puluh tahun tidak makan dan tidak minum, ada yang berpeluh sampai ke tumit, betis, perut dan ke mulut kerana lamanya berdiri. Kemudian berdiri para malaikat mengelilingi Arash lalu Allah menyuruh menyeru NAMA fulan bin fulan. Maka semua yang hadir melihat orang yang dipanggil untuk mengadap Allah S.W.T dan apabila ia sudah mengadap Allah, lalu dipanggil orang-orang yang pernah dianiaya dan dizaliminya untuk diberikan kebaikannya kepada orang tersebut kerana pada saat tersebut tidak ada pembayaran dengan emas atau perak. Semua orang yang pernah dianiaya dan dizalimi menagih kebaikan darinya sehingga habis kebaikannya, lalu diambil dosa-dosa orang yang dianiaya dan dizalimi tersebut untuk dipikulnya. Kemudian setelah selesai semuanya maka diperintahkan Allah kembalilah ketempatmu ke Neraka HAWIYAH kerana pada hari ini tidak ada penganiayaan. Sesungguhnya Allah amat segera perhitungannya dan pembalasannya. "

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abi Barzatal Aslami bahwa Rasul Allah S.A.W bersabda:

Maksudnya: " Tidak berganjak kaki seorang hamba sehingga ditanya kepada-Nya tentang umurnya digunakan untuk apa sampai akhir hayatnya. Dan ilmunya apa ia pergunakan (apakah diamalkan atau tidak), dan hartanya dari mana ia dapat dan kemana ia belanjakan, dan badannya untuk apa ia pergunakan “ (Sunan Darimi)

Keyakinan kepada hari kiamat akan memberi kesan yang sangat mendalam ke dalam jiwa setiap orang islam dalam usaha mencapai matlamat kehidupan yaitu mendapat kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dengan meyakini bahawa pada hari kiamat kita tetap akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk dibicarakan dimahkamah Rabbul Jalil di atas segala tindak tanduk dan amalan yang kita lakukan semasa hidup di dunia dan akan menerima pembalasan yang setimpal dan adil saksama dari Allah. Oleh itu bersegeralah kita mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T dengan sentiasa mentaati semua perintah Allah serta meninggalkan segala larangannya yang merangkumi seluruh aspek kehidupan yang merangkumi dasar perjuangan, perancangan termasuk cara berfikir, cara bertindak dan cara mencapai sesuatu tujuan dan matlamat. Marilah kita warnakan seluruh aktiviti kehidupan kita dengan sistem hidup yang digariskan oleh Allah S.W.T dan sekaligus meninggalkan segala bentuk fahaman dan amalan akhliah yang bercanggah dengan syariat Allah.

Maksudnya: " Setelah berlaku demikian maka ( manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing ), adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya ialah HAWIYAH. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia HAWIYAH itu? (HAWIYAH itu ialah) api yang panas membakar. "

( Surah Al-Zalzalah ;ayat 6-11 )
Seterusnya...

SEKSA KUBUR

Marilah kita semua menjuruskan ingatan dan kesedaran untuk kita sama-sama menghayati dan menyedari hanya Allah yang Maha Besar dan yang Maha Pemurah. Dibentangkan-Nya alam ini untuk kita, dicurahkan rahmat-Nya siang dan malam, sejak kita dilahirkan sampailah hari kematian kita. Bahkan rahmat Allah yang lebih besar dan lebih banyak lagi adalah sesudah kita mati, jika kita termasuk di kalangan orang yang beriman dan bertakwa serta banyak mengerjakan amal soleh selama hidup kita di dunia ini.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.
Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.
Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.
Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.
Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat. Ini berdasarkan Firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 99 -100:

Maksudnya: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka berkatalah ia “Wahai Tuhanku kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataanya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.
Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.
Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa berikut:



"اللَّهُمَّ اِنِّي اَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِيْ النَّارِ وَعَذَابٍ فِيْ الْقَبْرِ‏"



Maksudnya : “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”



Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW:



"إِنَّ الْقَبْرَ أَوَّلُ مَنَازِلَ الآخِرَةِ فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ، وَإِنْ لَمْ يَنْجَحْ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ."



Maksudnya: “Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.”



(Hadis riwayat at-Tirmizi)



Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah SAW bersabda:



"‏اِنَّ اَحَدَكُمْ اِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ اِنْ كَانَ مِنْ اَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ اَهْلِ الْجَنَّةِ وَاِنْ كَانَ مِنْ اَهْلِ النَّارِ فَمِنْ اَهْلِ النَّارِ يُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ اِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ."



Maksudnya: “Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepada-Nya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepada-Nya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepada-Nya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.”



(Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.
Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.
Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.
Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.
Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.
Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam.
Yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

(Surah Ali-Imran ayat : 16)
Seterusnya...

Facebook Membunuh Rakyat Palestin?

Kini, anak kecil yang dibangku sekolah rendah pun sudah tahu menggunakan perkhidmatan internet, kerana segalanya di hujung jari. Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun di tanya, "Mengapa guna internet? Adakah sebarang kerja sekolah yang diberi oleh guru yang memerlukan adik untuk menggunakan internet?" Balasnya, "Tidak. Saya nak tengok gambar kakak dan abang saya di luar negara sana." Ditanya kembali, "Bagaimana?". Di balas, "Tengok dekat Facebook atau Friendster mereka." Zaman ini amat mudah. Walau jauh beribu kilometer, jika rindu, hanya sekali klik dan beberapa taipan di papan kunci (keyboard), rindu yang terpalit di hati pasti terubat.

Facebook. Jika ada yang tidak pernah dengar perkataan tersebut, agak mustahil. Tetapi, jika ada yang tidak mempunyai akaun pada laman tersebut, bukanlah suatu yang pelik. Jika dulu, kalau orang bertanya, kenapa diri tak punya akaun Facebook? Mungkin ada yang menjawab, "tak perlu sangat kot." Tapi kini, jika soalan yang sama di ajukan, ada yang menjawab dengan jawapan yang agak simbolik, "sebab tak nak bunuh orang Palestin!". Bagi mereka yang tidak tahu hujung pangkal, pastinya pernyataan tersebut akan membawa kepada seribu satu persoalan, yang seharusnya dirungkaikan satu demi satu.
Semua sedia maklum bahawa laman tersebut di asaskan oleh seorang anak muda berbangsa Yahudi-Amerika, iaitu Mark Zuckerberg. Mengupas peribadi beliau, beliau ialah salah seorang pelajar yang pernah menuntut di universiti yang terulung di dunia, iaitu University Harvard. Namun begitu, di atas kesalahan yang yang telah dilakukan oleh beliau, akhirnya, beliau telah meninggalkan zaman pengajian beliau di institut pengajian tersebut.
Apa yang menyebabkan terdapatnya dakwaan yang mengatakan Facebook memberi sumbangan kepada pembunuhan rakyat di Palestin adalah kerana Mark, sebagai CEO, merupakan salah seorang ahli aktif di dalam Alpha Epsilon Pi Fraternity (AEPi). AEPi adalah sebuah persatuan yang di anggotai oleh mereka yang berketurunan Yahudi Amerika Utara. Fungsinya lebih kurang sama seperti persatuan-persatuan biasa lain, dan diantaranya adalah menjaga kebajikan ahli-ahli. Berdasarkan kepada laman AEPi, persatuan ini sering memberi bantuan dari segi kewangan kepada beberapa pertubuhan yang menyokong kepada Israel. Salah sebuahnya adalah American Israel Public Affairs Committee (AIPAC).
AIPAC secara umumnya adalah sebuah jawatankuasa yang membantu Israel supaya sentiasa mendapat sokongan kuat daripada Amerika. Antara kejayaan yang telah dibawa oleh AIPAC termasuklah membuat beberapa resolusi bagi menyokong dan mempertahankan hak Israel dalam menghadapi puak terrorist, yang dinamakan mereka sebagai Hamas dan Hizballah[1]. Sebagaimana kita mempercayai dan meletakkan harapan yang tinggi kepada para remaja/ belia, begitu juga dengan mereka. Pertubuhan ini percaya bahawa kunci kepada kekukuhan hubungan US-Israel pada masa hadapan adalah dengan mendidik para pemimpin belia yang ada hari ini. Justeru itu, mereka mewujudkan ‘AIPAC on Campus'. Program latihan AIPAC (AIPAC's training program) bekerjasama dengan sekolah-sekolah tinggi (high school), dan pelajar-pelajar universiti (sama ada undergraduate ataupun postgraduate) dalam melatih para pelajar bagaimana untuk mengukuhkan hubungan US-Israel melalui penglibatan di dalam bidang politik[2]. Program ini dinamakan sebagai AIPAC's Political Leadership Development Program. Pemimpin-pemimpin muda ini juga akan turut dilatih untuk menjadi seorang yang pro-Israel[3]. Disebutkan juga di dalam laman web AEPi, bahawa ramai pemimpin terbaik AEPi bergiat aktif dalam AIPAC di kampus mereka[4]. Melalui penerangan-penerangan diatas, dapat dilihat bahawa terdapat kerjasama di antara AEPi dan AIPAC.
AEPi juga adalah sebuah pertubuhan yang memerlukan komitmen daripada ahli-ahlinya sepanjang hayat. Alumni AEPi adalah antara mereka yang akan memberikan sumbangan kepada pertubuhan ini sama ada dari segi kewangan, mahupun kepakaran[5]. Disebabkan hal ini, ada pihak yang mendakwa bahawa Mark Zuckerberg, sebagai salah seorang alumni AEPi, secara tidak langsung terlibat dalam menyediakan ‘kemudahan' kepada pihak Israel untuk terus menyerang Palestin.
Jadi, bagaimana pula Facebook boleh menyumbang kepada Israel sedangkan ianya hanyalah sebuah laman yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada pengguna yang mahu mendaftar? Dari mana datangnya sumber kewangan Facebook seperti yang diwar-warkan? Sebagaimana laman web lain yang menyediakan bahagian untuk pengiklanan di laman mereka, begitu juga dengan Facebook. Melalui iklan-iklan tersebut, secara tidak langsung akan menjana pendapatan kepada Facebook. Apabila sesuatu iklan dipaparkan di sebuah laman web, pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan iklan tersebut perlu membuat bayaran diatas ruang yang di'sewa'. Terdapat beberapa sistem yang digunakan sebagai cara bayaran bagi sesebuah iklan di Facebook[6]. Salah satu sistem yang digunakan adalah Pay per click (PCP)[7]. Melalui sistem ini, pemilik ruang sewa akan dibayar sewa iklan berdasarkan bilangan kunjungan yang diterima oleh sesebuah laman, melalui iklan yang di paparkan. Jika banyak kunjungan yang diterima, maka bayaran yang akan diterima oleh pemilik ruang sewa juga akan meningkat. Sistem lain yang digunakan adalah Pay per Impression[8]. Bagi sistem ini pula, pemilik ruang sewa akan dibayar sewa bagi setiap kali iklan dipaparkan di laman mereka. Terdapat laman web yang menggilirkan paparan iklan di laman mereka disebabkan oleh banyaknya mendapat tempahan iklan dengan keadaan ruang sewa yang terhad. Maka, di dalam suatu masa, hanya beberapa iklan sahaja yang akan dipaparkan.
Berdasarkan kedua-dua sistem pengiklanan ini, kedua-duanya akan memberi manfaat kepada pemilik ruang sewa, tambahan pula, jika laman tersebut sentiasa mendapat kunjungan yang ramai daripada para pengguna internet. Ianya dapat dilihat di laman tersebut sendiri. Facebook menawarkan harga pengiklanan serendah US $1 satu hari[9]. Jika satu hari 100 orang pengguna Facebook tertarik dengan iklan yang dipaparkan di Facebook, dan langsung mengambil langkah untuk ke laman web tersebut, maka, akan menyumbanglah dia kepada peningkatan ekonomi Facebook.
Selain itu, Facebook turut menjana ekonomi dengan aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalamnya. Bagi setiap aplikasi yang direka dan dihantar oleh pengguna, Facebook mengenakan bayaran terhadapnya. Bayaran tersebut tertakluk kepada status penghantar aplikasi, seperti golongan pelajar sama ada golongan bekerjaya. Harga yang paling rendah ditawarkan adalah kepada golongan pelajar iaitu sebanyak $175[10].
Seperti mana laman-laman web yang terdapat di alam maya ini, Facebook juga berhak mendapatkan keuntungan diatas perkhidmatan yang telah mereka berikan kepada masyarakat, terutamanya para penggunanya. Ada sesetengah pihak yang menggunakannya sebagai salah satu cara untuk mengekalkan hubungan dengan kaum keluarga mahupun sahabat handai. Malah, ada juga segelintir yang menjadikannya sebagai medan dakwah. Walaupun sepotong ayat ditulis, jika dicampakkan oleh Allah hidayah ke dalam hati seseorang, tidak mustahil dakwah itu akan menampakkan kesannya, walaupun ada yang mengatakan alasan dakwah itu sebagai yang lapuk.
Orang-orang awam dan pengguna seperti kita, sukar untuk mengetahui kebenaran disebalik dakwaan-dakwaan yang dibuat. Satu demi satu maklumat dicungkil untuk melihat perkaitan Facebook dengan organisasi-organisasi yang terlibat dalam usaha ‘menghilangkan' Palestin daripada peta dunia. Hakikatnya kita hanyalah pengguna Facebook yang berusaha untuk memanfaatkan kemudahan yang ada. Juga, jika ketika sesi pendaftaran pengguna (user sign up) dilakukan, tertulis disitu ‘Facebook menyokong Zionisme', adalah suatu yang mustahil pengguna Facebook akan meningkat kepada angka yang ada seperti hari ini[11].
Hari ini, jika di lihat dan di cari melalui enjin pencari (search engine), banyak dakwaan yang menunjukkan hasil ekonomi yang diperoleh daripada Facebook menyumbang kepada Zionis yang bertapak di Israel. Antaranya adalah apabila Mark Zuckerberg turut tersenarai sebagai selebriti yang hadir ke perayaan sambutan ke-60 Israel pada tahun 2008[12]. Bagi menentukan kebenarannya, tentu sahaja bukan mudah, kerana seseorang mampu untuk berbuat apa sahaja bagi melindungi diri sendiri. Namun, kita sedar bahawa pokok tidak akan bergoyang jika tiada angin. Apa yang perlu ialah sentiasa berhati-hati. Gunakan Facebook sebaik mungkin. Jika dakwaan mengatakan hanya dengan sekali log in, kita telah menyumbang kepada kekayaan Facebook, maka, kurang kan ‘kemasukan' kita ke dalam Facebook. Apabila benar-benar terasa ada kepentingannya, barulah log in. Jika terasa tidak bertambah amal dalam diri, elakkan daripada melakukannya. Hal ini adalah kerana, segala perubahan terletak pada diri kita. Masih banyak urusan di luar sana yang perlu kita lakukan, selain untuk selalu log in ke dalam Facebook.


*Diambil dari http://www.iluvislam.com/*
Seterusnya...