Dunia Hanyalah Sebuah Persinggahan…

Dunia bukanlah kehidupan hakiki dan ia diibaratkan perhentian seorang musafir buat seketika untuk sampai ke tempat tujuannya.Setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat.Kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan,ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya.Bagaimana persiapan kita untuk itu??
Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah taala bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat,namun penyesalan itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para nabi dan rasul namun mereka mengingkarinya. Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27-30:

Maksudnya : “Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan,tidak dipakai.”

Antara ciri-ciri muslim yang bijaksana ialah muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian. Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : “Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” (Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadis baginda satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh. Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah,amalan berzakat,bersedekah,menderma,mewakaf,perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat,serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mau pun uhkrawi kerana islam adalah ad-din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah S.W.T. telah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu.Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah S.W.T. Baginda Rasululah S.A.W. pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh at-Termizi yang bermaksud:

Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”

Dan amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang soleh setelah ibu atau bapanya meninggal dunia.Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada Allah S.W.T. Dalam masa yang sama anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta.Inilah di antara ciri- ciri anak soleh yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan dalam sabdanya diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud:

Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia. ”
Seterusnya...

Sebuah kehidupan yang penuh tipu daya

Pada hari ini, darjat kehidupan manusia terdiri daripada pelbagai golongan iaitu golongan kaya,golongan pertengahan,golongan miskin dan golongan yang terpinggir.Sudah menjadi adat kehidupan golongan yang berpendapatan tinggi dan berpangkat mendapat sanjungan,penghormatan dan di pandang hebat oleh masyarakat.Oleh itu untuk mengejar nilai kehidupan,ada di kalangan mereka sanggup merasuah dan membeli gelaran-gelaran tertentu.Kadang kala golongan ini yang dilihat mempunyai harga diri yang tinggi sebenarnya mempunyai ruang terbuka luas mengumpul kekayaan dan maju ke hadapan secara tidak sah.

Golongan miskin dan terpinggir pula kelihatan kurang mendapat sanjungan sebagaimana yang diperolehi golongan kaya atau atasan.Manakala golongan bawahan sering mendapat laluan sukar dan terpaksa berhempas pulas mencari kesenangan hidup.Ini adalah lumrah kehidupan.Persoalan besar timbul ialah apakah perbezaan taraf hidup itu menentukan harga atau nilai kehidupan manusia.

Kita sering mendengar,malah dipaparkan dalam media massa mengenai kisah-kisah sedih penganiayaan,penzaliman,perhambaan terhadap golongan bawahan seperti amah atau pembantu rumah.Ini adalah salah satu contoh harga atau nilai hidup yang dialami golongan bawahan atau miskin dalam usaha mencari rezeki halal dan sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan.

Firman Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 42:
Maksudnya: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Sekali imbas, dunia dirasakan tidak selamat kerana golongan yang kuat menindas yang lemah dan terdapat golongan yang kaya tamak haloba memburu kekayaan sama ada secara sah atau rasuah.Hakikatnya, Allah SWT telah banyak memberikan kita kesempatan iaitu sejak dilahirkan sehingga saat ini. Allah telah memberikan kita segala-galanya tanpa kita pinta. Tetapi jarang kita mensyukurinya kerana sesetengah dari kita merasakan itu adalah hasil jerih payah dan penat lelah kita sendiri.

Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:
“ Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi yang diberi dianggap sebagai kufur nikmat.”( Hadtih Riwayat At-Tabrani)
Seterusnya...